Bukti uji kaji Teori_kerelatifan

Ujian kerelatifan khas

Gambarajah uji kaji Michelson–Morley

Seperti semua teori sains yang boleh dipalsukan, kerelatifan membuahkan ramalan-ramalan yang boleh diuji dengan uji kaji. Dalam hal kerelatifan khas, ini termasuklah prinsip kerelatifan, kemalaran kelajuan cahaya, dan dilasi masa.[9] Ramalan-ramalan kerelatifan khas ini telah disahkan dalam pelbagai ujian semenjak Einstein menerbitkan kertas kerjanya pada tahun 1905, tetapi tiga uji kaji yang diadakan antara tahun 1881 hingga 1938 amat meragui kesahihannya, iaitu uji kaji Michelson–Morley, uji kaji Kennedy–Thorndike, dan uji kaji Ives–Stilwell. Einstein memetik transformasi Lorentz daripada prinsip-prinsip pertama pada tahun 1905, tetapi ketiga-tiga uji kaji tersebut membolehkan aruhan transformasi daripada bukti uji kaji.

Persamaan Maxwell, iaitu asas kepada ilmu elektromagnetisme klasik, memerikan cahaya sebagai gelombang yang bergerak dengan suatu halaju cirian. Pada pandangan moden, cahaya tidak memerlukan bahantara pemancaran, namun Maxwell dan yang seangkatan dengannya yakin bahawa gelombang cahaya dirambatkan dalam suatu bahantara yang serupa dengan bunyi yang merambat dalam udara, serta riak-riak yang merambat pada permukaan kolam. Bahantara anggapan ini dipanggil eter bercahaya, yang pegun secara relatif dengan "bintang-bintang tetap" dan dilalui oleh Bumi. Hipotesis leretan eter separa oleh Fresnel menyangkal sukatan kesan tertib pertama (v/c), dan walaupun pemerhartian terhadap kesan tertib kedua (v2/c2) adalah mungkin secara prinsip, namun Maxwell berpendapat bahawa ia terlalu kecil untuk dikesan dengan teknologi semasa itu.[10][11]

Uji kaji Michelson–Morley direka untuk mengesan kesan tertib kedua "angin eter", iaitu pergerakan eter secara relatif dengan bumi. Untuk itu, Michelson mencipta alat interferometer Michelson. Alat itu lebih daripada cukup jitu untuk mengesan kesan-kesan yang diduga, namun beliau memperoleh hasil yang nol apabila uji kaji pertama diadakan pada tahun 1881,[12] dan sekali lagi pada 1887.[13] Biarpun kegagalan untuk mengesan angin eter menghampakan, namun hasil penemuannya diterima oleh masyarakat ilmuwan.[11] Dalam cubaan menyelamatkan paradigma eter, Fitzgerald dan Lorentz secara berasingan mencipta hipotesis ad hoc yang mana kepanjangan jasad maujud berubah mengikut pergerakannya melalui eter.[14] Dari sinilah berpuncanya kecutan Fitzgerald-Lorentz, malah hipotesis mereka tiada asas teori. Tafsiran terhadap hasol npl daripada uji kaji Michelson–Morley adalah bahawa masa perjalanan ulang-alik bagi cahaya adalah bersifat isotrop (tidak terpengaruh oleh arah), namun hasil itu sahaja tidak memadai untuk menyangkal teori eter atau mengesahkan ramalan kerelatifan khas.[15][16]

Uji kaji Kennedy–Thorndike yang ditunjukkan dengan pinggir-pinggir gangguan.

Biarpun uji kaji Michelson–Morley menunjukkan bahawa halaju cahaya bersifat isotrop, namun tiada apa-apa yang dikhabarkannya tentang bagaimana magnitud halaju itu berubah (jika ada pun) dalam pelbagai jenis rangka inersia. Untuk itu direkanya uji kaji Kennedy–Thorndike yang mula-mula dijalankan pada 1932 oleh Roy Kennedy dan Edward Thorndike.[17] Mereka memperoleh hasil nol, lalu menyimpulkan bahawa "tidak terdapat kesan ... melainkan halaju sistem suria di angkasa tidak melebihi sekitar separuh daripada Bumi dalam orbitnya".[16][18] Kemungkinan itu disangka terlalu kebetulan untuk menyampaikan penjelasan yang munasabah, maka daripada hasil nol uji kaji mereka, adalah disimpulkan bahawa masa perjalanan ulang-alik cahaya adalah sama dalam kesemua rangka rujukan inersia.[15][16]

Uji kaji Ives–Stilwell dijalankan oleh Herbert Ives dan G.R. Stilwell julung-julung kalinya pada 1938[19] dan kemudian dengan lebih kejituan pada 1941.[20] Uji kaji ini direka untuk menguji kesan Doppler melintang (anjakan merah cahaya dari punca yang bergerak dalam arah yang serenjang dengan halajunya) yang telah diramal oleh Einstein pada tahun 1905. Strateginya adalah membandingkan anjakan Doppler yang tercerap dengan apa yang diduga oleh teori klasik, serta mencari pembetulan faktor Lorentz. Telah ditemuinya pembetulan sedemikian, maka adalah disimpulkan bahawa frekuensi jam atom yang bergerak terubah mengikut kerelatifan khasnya.[15][16]

Ujikaji-ujikaji klasik ini telah diulangi berkali-kali dengan bertambah kejituannya.

Ujian kerelatifan am

Kerelatifan am turut disahkan berkali-kali, dengan uji kaji yang terulungnya iaitu liukan perihelion orbit Utarid, pemesongan cahaya oleh Matahari, dan anjakan merah graviti cahaya. Ujian-ujian lain mengesahkan prinsip kesetaraan dan leret rangka.

Rujukan

WikiPedia: Teori_kerelatifan http://books.google.be/books?id=jL9reHGIcMgC http://gme.grolier.com/article?assetid=0107090-0 http://gme.grolier.com/article?assetid=0244990-0 http://gme.grolier.com/article?assetid=0272730-0 http://www.juliantrubin.com/schooldirectory/relati... http://adsabs.harvard.edu/abs/1932PhRv...42..400K http://adsabs.harvard.edu/abs/1938JOSA...28..215I http://adsabs.harvard.edu/abs/1941JOSA...31..369I http://adsabs.harvard.edu/abs/1949RvMP...21..378R http://math.ucr.edu/home/baez/physics/Relativity/S...